Jalil Elias import termahal Liga-M dengan nilai lebih RM15 juta sertai JDT
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi mengumumkan Jalil Elias sebagai pemain import baharu skuad Harimau Selatan.
Pengumuman itu dibuat JDT menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah mengesahkan Elias akan menyertai Harimau Selatan bulan ini.
TMJ percaya kehadiran perancang tengah berusia 27 tahun itu mampu memberikan lebih keseimbangan di jentera penggerak Harimau Selatan.
Elias akan mengisi kuota import Harimau Selatan dengan beberapa pemain import musim ini dilepaskan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu termasuk Diogo Luis Santo dan Leandro Velazquez.
Elias atau nama sebenarnya Jalil Juan Jose Elias sebelum ini beraksi dengan beberapa kelab dan kelab terakhir yang disertainya adalah San Lorenzo dari 2021-2023.
Kehadiran pemain dari Argentina itu menyaksikan dia kini memegang status sebagai pemain paling mahal dalam sejarah Liga Malaysia (Liga-M) pada ketika ini dengan nilai pasaran beliau sebanyak tiga juta Euro (RM15.2 juta).
Terdahulu, Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari berkata Elias akan digandingkan bersama Hong Wan yang akan menyaksikan barisan tengah pasukan itu lebih konsisten memandangkan pengalaman pemain dari Argentina itu yang memiliki kualiti dan karektor untuk mengemudi bahagian tengah.
“Walaupun kami ada Leandro tapi dia masih menjalani proses pemulihan dan perlu dipantau maka kehadiran Jalil amat penting bagi menguatkan posisi tengah selain dia boleh beraksi selaku perancang dan ‘defensive midfield’,” ujarnya.
Teknik dan ‘style gameplay’ yang dimainkan oleh Elias dikatakan menyerupai Leandro Valesquez kerana mampu menjaringkan gol dari jarak jauh selain dengan kepakaran vision yang jelas dalam mengemudi bahagian tengah.
Kemasukan Elias akan menguatkan lagi pasukan JDT bagi mengharungi Liga Malaysia dan ACL Elite Musim 2024.