Semasa

JBPM berhasrat tubuh Pangkalan Udara di Pantai Timur

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhasrat untuk memastikan waktu menangani kes kecemasan yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat dipercepat.

Sehubungan itu jelas Pengarah Bahagian Udara JBPM Datuk Nazili Mahmood, pihaknya bercadang untuk mewujudkan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) bagi pasukan gerakan udara agensi itu di Pantai Timur.

“Ketika ini JBPM masih mampu melaksanakan penerbangan sama ada dari Pangkalan Wilayah Tengah Subang di Selangor dan Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam di Pulau Pinang ke Gua Musang, Kelantan.

“Namun begitu, kita juga merancang untuk mewujudkan FOB di Wakaf Tapai, Terengganu kerana waktu bertindak untuk ke Gua Musang misalnya lebih kurang setengah jam sahaja,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar bantuan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli dekat Pos Belatim di sini hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, bagi mengadakan Pangkalan itu, ia tertakluk kepada situasi semasa.

Untuk rekod, ketika bencana banjir baru-baru ini, BPM menyediakan tiga helikopter untuk membantu operasi menyelamat di Pantai Timur.

BACA LAGI: JBPM kerah tiga helikopter untuk operasi menyelamat mangsa banjir di Pantai Timur

Ia antaranya melibatkan situasi seperti membawa pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital dan menghantar bekalan makanan.

Sementara itu, sebagai mengulas operasi bantuan kepada masyarakat Oras Asli di kawasan itu beliau memaklumkan sebanyak 25 anggota ditugaskan untuk menghantar 15 tan makanan kepada penduduk yang terputus hubungan akibat kejadian tanah runtuh minggu lepas.

Lima Pos Orang Asli terlibat ialah Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Simpor yang membabitkan 1,097 keluarga daripada 56 kampung.

Related Articles

Back to top button