Semasa

Ketua komuniti luar bandar bantu pendaftaran PADU

Peranan ketua komuniti di kawasan luar bandar akan dimanfaatkan bagi memastikan sasaran 29 juta warganegara Malaysia mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tercapai.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dipetik laporan Bernama berkata, usaha itu akan turut melibatkan sesi libat urus bersama kepimpinan kerajaan negeri.

“Bagi kawasan pedalaman, gerak kerja pengoperasian telah pun disusun… komunikasi dan perhubungan dengan kerajaan negeri telah kita adakan melalui sesi libat urus, kita ada bermesyuarat dalam platform majlis statistik data negeri yang dipengerusikan oleh Premier, Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri masing-masing dan ada juga melalui Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kemudian, kita turunkan juga kepada peringkat daerah dan kita juga berhubung dengan penghulu, ketua-ketua komuniti maknanya usaha untuk kita melihat pelaksanaan pendekatan ‘the whole nation’ (pendekatan menyeluruh) itu telah pun dilaksanakan,” katanya dipetik.

BACA LAGI: PADU dilancar untuk henti ketirisan, kebocoran – PM Anwar

PADU, sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia dilancarkan pada Selasa oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan bagi membolehkan pelaksanaan subsidi bersasar mencapai objektifnya selain memudahkan kerajaan menggubal dasar.

Semua rakyat yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan sebelum 31 Mac ini.

Seemntara itu sebagai mengulas penerimaan sistem itu di kawasan luar bandar, Mohd Uzir berkata, setakat ini maklum balas yang diterima daripada Jabatan Perangkaan Negeri dan kakitangan dengan dibantu oleh usaha penerangan dilakukan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) di lapangan adalah positif.

“Kita juga bekerjasama dengan JaPen melalui pelaksanaan program Info On Wheels, iaitu mereka bergerak dan menyampaikan maklumat mengenai PADU dan sebagainya, jadi publisiti itu berjalan secara meluas dan boleh kita nyatakan satu dua hari ini menunjukkan perkembangan yang baik dan positif,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button