Nasional

Kompaun sehingga RM30,000 kepada ejen gagal sedia pekerjaan kepada pekerja asing – Johari

Syarikat yang didiapati membawa masuk pekerja asing dan gagal menyediakan pekerjaan di dalam tempoh sebulan dicadang dikenakan kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan langkah itu bagi memastikan kouta pekerja asing dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak yang memerlukan buruh asing.

Jelasnya jumlah kompaun yang dikenakan itu juga boleh digunakan semula bagi menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan.

“Saya nak mencadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing dan datang ke negara kita, kemudian dalam tempoh sebulan tiada kerja. Syarikat itu patut di kompaun.

“Kita dapat banyak laporan mengatakan banyak pekerja asing datang ke negara ini tetapi tiada kerja sedangkan di ladang memerlukan ramai pekerja. Isu ini kita perlu tangani segera kerana ia memberi imej tidak baik kepada negara sedangkan terdapat industri yang memerlukan pekerja asing,” katanya.

Johari berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, perkara itu telah dibangkitkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Beliau berkata, kementerian tidak mempunyai punca kuasa untuk memindahkan pekerja asing yang telah di bawa masuk ke industri memerlukan.

“Banyak isu yang bersangkut paut antara kementerian contohnya, Jabatan Imigresen menjalankan penguatkuasaaan. Jadi kalau mereka tengok pekerja itu datang dengan cukup permit dan pasport, dia tak boleh buat apa.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) hanya memberi kouta kepada industri yang memohon tetapi jika mereka tidak menyediakan kerja, kementerian tidak boleh memindahkan pekerja asing tersebut,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengadakan pertemuan bagi membincangkan usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini, termasuk isu eksploitasi.

Related Articles

Back to top button