KPM pertimbang permohonan pertukaran pasangan guru jarak jauh
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mempertimbangkan semua permohonan menyatukan pasangan guru jarak jauh berdasarkan kepentingan pendidikan sebelum proses pertukaran diluluskan dalam menangani isu guru ‘duka lara’.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata permohonan pertukaran mengambil kira banyak faktor dengan semuanya dilakukan mengikut proses sedia ada.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu guru gagal mendapat tempat pertukaran atau berada dalam situasi perhubungan jarak jauh dengan pasangan masing-masing hingga berlaku perceraian.
“Saya fikir proses pertukaran guru jarak jauh ini sudah dijalankan dan KPM akan pertimbangkan semua permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan.
“Sebenarnya, faktor tertinggi untuk diambil kira bagi proses pertukaran adalah suami isteri yang terpisah secara jauh.
“Justeru, KPM sedang berusaha dan juga mengambil pendekatan bagi menyatukan semula pasangan guru jarak jauh ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, di Sungai Suloh, di Batu Pahat, hari ini.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar di Senggarang.
Lawatan itu antara lain untuk meninjau persiapan sesi persekolahan selepas cuti baru-baru ini dan juga kesiapsiagaan menghadapi banjir memandangkan kedua-dua sekolah terbabit antara yang terkesan akibat bencana itu.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, permohonan pertukaran guru berlangsung secara berterusan dengan prosesnya dijalankan empat kali setahun berdasarkan rekod cuti sekolah.