PM Anwar kutuk serangan bom di Wilayah Kerman
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk serangan pengganas ke atas orang awam di Iran yang telah mengorbankan ratusan nyawa.
Menurut Anwar, ia telah merenggut hampir sertaus nyawa yang tidak berdosa dan telah mencederakan lebih dua ratus yang lain.
“Amat menyedihkan tatkala beberapa bom dilaporkan meledak di Wilayah Kerman berdekatan Iran semalam.
“Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Serangan yang berlaku di Wilayah Kerman dalam upacara memperingati kematian Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat itu dilaporkan setakat ini telah mengorbankan 95 nyawa.
Tegas Anwar, dunia telah menyaksikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin yang mengorbankan 22,000 nyawa sepanjang tiga bulan.
Katanya lagi, keganasan Israel di Lubnan yang menyebabkan orang awam terbunuh dengan alasan menyerang pejuang Hisbollah.
Oleh itu, serangan di Iran amat mengejutkan dan meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat.
“Malaysia mengutus takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan warganya, dan Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti. Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan.
“Di tahun baharu ini, Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat,” katanya lagi.
Menurut laporan, serangan di Iran berlaku berhampiran pemakanan Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh pada 2020.
Letupan dilaporkan berlaku ketika orang ramai berkumpul dalam sebuah majlis berhampiran makam berkenaan bagi memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani.
Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab biar pun menurut sumber serangan berkemungkinan dilakukan oleh Islamic State.
Berdasarkan angka terbaharu, sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh dan 211 yang lain cedera dalam dua letupan tersebut.