PM Anwar setuju Selangor jadi hos pertama program Jelajah Madani peringkat negeri
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju agar program Jelajah MADANI bagi peringkat negeri dimulakan di Selangor.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dinyatakan Anwar pada mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu susulan kejayaan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember lepas.
“Kita akan umumkan, mungkin minggu depan mengenai tarikh dan lokasi program ini,” kata Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.
BACA LAGI: Hasil meningkat 128 peratus, bukti kesungguhan Selangor pacu pembangunan ekonomi
Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama dari 8 hingga 10 Disember lalu di perkarangan Stadium Bukit Jalil disifatkan berjaya mencapai matlamat untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Dihadiri lebih 230,000 orang, program yang menghimpunkan semua kementerian ‘di bawah satu bumbung’ itu menyediakan 102 perkhidmatan melibatkan 36 reruai kaunter di satu lokasi.
Fahmi ketika ditemui semasa program itu dilaporkan berkata penganjuran Jelajah MADANI akan diadakan di peringkat negeri dan mencadangkan semua kementerian untuk turut serta mempamerkan inisiatif serta pencapaian kerajaan yang khusus bagi negeri berkenaan.