Semasa

HAWANA 2024: Sarawak jadi tuan rumah

Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan hadir memeriahkan sambutan itu yang dijadualkan pada 27 Mei ini.

“Keputusan pemilihan Sarawak ini sudah diputuskan dalam mesyuarat pasca kabinet semalam dan ia sebenarnya bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri yang mahukan HAWANA 2024 diadakan di negeri itu dalam ucapannya pada sambutan HAWANA 2023 di Ipoh, Perak tahun lepas.

“Bagaimanapun, lokasi sebenar di Sarawak bagi penganjuran HAWANA 2024 itu akan diputuskan kemudian.

“Kementerian akan mengadakan perbincangan termasuk dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak untuk tentukan beberapa perkara,” katanya.

Terdahulu Fahmi menziarahi bekas editor RTM Sahbudin Abdullah, 73, yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis, di kediamannya di Cheras.

Dalam pertemuan itu Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Sahbudin.

Tabung Kasih@HAWANA bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.

BACA LAGI: KPKM peruntukkan RM1.8 juta untuk latihan keusahawanan melalui Agrobank

Sementara itu, Fahmi memaklumkan sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed mengenai cadangan untuk mewujudkan satu produk atau skim khas buat golongan pemberita sambilan (stringer) dan pekerja sementara (piecemeal).

“Ini bagi memastikan golongan ini juga mendapat aspek perlindungan sosial termasuk pencen ilat, saya serahkan pada pasukan untuk teruskan perbincangan (berkaitan perkara itu),” katanya.

Related Articles

Back to top button