Semasa

KPKM nafi kewujudan kartel tentukan harga beras, benih padi

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan kewujudan kartel atau mafia yang menentukan harga padi, beras dan benih padi.

Menerusi satu kenyataan KPKM berkata, industri padi dan beras negara dikawalselia oleh Kawalselia Padi dan Beras melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Melalui akta tersebut, pihak kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur.

“Sebanyak 39,000 pelbagai lesen seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS) jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.

“Bagi BPS pula, KPKM telah memperuntukkan sebanyak 72,000 metrik tan benih padi sah bagi memenuhi keperluan pesawah bagi tahun 2023.

“Lesen pengilangan benih padi sah ini juga turut diberi kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah manakala pengesahan BPS melalui ujian makmal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sebuah portal berita baru-baru ini mendakwa kartel atau ‘mafia’ padi dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendakwa kartel-kartel tersebut berperanan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga ada yang mengenepikan arahan kerajaan.

BACA LAGI: KPKM luaskan program SMART SBB Ala Sekincan – Mohamad Sabu

Sementara itu KPKM berkata, satu pelaksanaan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) juga telah diadakan pada 7 hingga 21 November tahun lalu dalam memastikan semua peruncit menjual BPS mengikut harga ditetapkan kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan.

“Sepanjang tempoh tersebut, KPKM telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit yang melanggar syarat lesen,” katanya.

KPKM turut memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu tersebut.

Related Articles

Back to top button