Semasa

KPKT komited kekang perniagaan haram pendatang tanpa izin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menegaskan pihak kementerian tidak pernah mengeluarkan lesen kepada pendatang tanpa izin untuk menjalankan sebarang perniagaan seperti membuka gerai atau kedai.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Bukit Mertajam pada Khamis beliau menegaskan, kerajaan sentiasa konsisten untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.

Malah penguatkuasaan undang-undang sentiasa diambil terhadap warga asing yang melanggar peraturan.

“Tindakan undang-undang sentiasa dan sedang dilakukan bersama PBT (pihak berkuasa tempatan).

“Tahun lepas kami telah melaksanakan sebanyak 1,539 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing dan sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen atau premis (oleh warga asing),“ katanya.

BACA LAGI: JIM ambil langkah proaktif, akan buru majikan lindungi pendatang asing tanpa izin

Beliau sebelumnya diminta mengulas isu lambakan gerai warga asing yang didakwa telah menjejaskan peniaga tempatan di banyak lokasi di seluruh negara.

Menjawab pertanyaan itu, beliau berkata, kementeriannya sentiasa bersedia dan akan memberi kerjasama bagi program turun padang bersama kementerian lain bagi mengekang penularan perniagaan secara haram oleh warga asing.

“Apabila kita syaki ada pendatang tanpa izin salah guna premis ataupun salah guna lesen yang dikeluarkan oleh PBT, maka lesen tersebut akan dibatalkan serta-merta malah tindakan tegas turut dikenakan,“ tambahnya.

Related Articles

Back to top button