Nasional

Malaysia antara negara dengan purata tarif air terendah di ASEAN, nafi penyelarasan untuk kaut untung – SPAN

Malaysia adalah antara negara yang mengenakan purata tarif terendah bagi setiap meter padu air berbanding negara lain di rantau ini.

Laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi soalan lazim mengenai pelarasan tarif air memaklumkan Malaysia mengenakan kadar keempat terendah dalam kalangan negara Asean setakat 2022 iaitu RM1.22 bagi setiap meter padu air.

Myanmar pula mengenakan caj sebanyak sembilan sen, Brunei (35 sen) dan Indonesia (RM1.15) untuk jumlah isi padu air yang sama.

Kadar dikenakan oleh negara jiran lain pula lebih tinggi iaitu RM1.37 di Vietnam, Thailand (RM1.68), Filipina (RM2.92) dan Singapura (RM5.88).

Menurut SPAN, terdapat beberapa negeri yang tarifnya tidak disemak melebihi 25 tahun iaitu Pahang dan Perlis dengan semakan terakhir masing-masing ialah pada 1983 dan 1996.

SPAN turut memaklumkan purata kos keseluruhan bagi merawat serta membekalkan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan pada 2020 ialah RM1.68 bagi setiap meter padu.

“Purata tarif yang dikutip daripada pengguna adalah lebih rendah daripada purata kos keseluruhan iaitu RM1.37 per meter padu pada tahun yang sama,” katanya.

Menurut SPAN, pelarasan tarif air yang dijangka bermula tahun ini adalah bagi memastikan kelestarian perkhidmatan dan bukan untuk memberi peluang kepada syarikat pengendali mengaut keuntungan berlipat ganda.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail berkata pihaknya melaksanakan kajian Mekanisme Penetapan Tarif bagi memastikan pelarasan yang adil kepada syarikat pengendali dan pengguna.

“Kita mengambil kira perbelanjaan operasi serta perbelanjaan modal syarikat dan kita telah menentukan berapa kadar yang harus dilaksanakan, dan bukan operator yang menentukan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Pelarasan Tarif Air 2024’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata sekiranya pelarasan tarif air itu dilaksana pada tahun ini, SPAN menjangkakan kadar kenaikan yang dikenakan kepada pengguna secara purata hanyalah RM3 tambahan kepada bil semasa. – Bernama

Related Articles

Back to top button