Negeri

Perak anjur konvensyen sempena setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 28 Januari ini – Saarani

Kerajaan Perpaduan Perak akan menganjurkan konvensyen pada 28 Januari ini di Hotel Casuarini@Meru, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, penganjuran konvensyen itu adalah sempena setahun penubuhan kerajaan tersebut.

Katanya, konvensyen itu akan dihadiri oleh pemimpin daripada semua parti komponen di dalam kerajaan.

“Setelah setahun kita menubuhkan kerajaan bersama, kita melihat semula apa kelemahan dan kelebihan kita.

“Sudah tentu kita kena buat ‘projection’ untuk menjadi kerajaan lebih baik daripada yang telah kita lakukan.

“Saya akan menyampaikan ucap utama dan ia kemudiannya akan dibahaskan oleh pembahas-bahas,” katanya selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak Siri 1 2024 di Stadium Indera Mulia, di Ipoh, pada Khamis.

Tambah Saarani, HBP yang sudah dimulakan sejak 2022 itu bertujuan untuk menyelesaikan segala aduan dan permasalahan rakyat.

“Sudah pasti banyak penambahbaikan kita lakukan di setiap tahun pelaksanaannya termasuk memperluaskannya dengan jelajah ke setiap daerah dalam negeri ini.

“Sepanjang tempoh penganjuran 17 siri HBP yang diadakan sejak 2022 hingga tahun lalu, sebanyak 2,356 aduan telah diterima dan daripada jumlah itu 2,280 atau 97 peratus aduan berjaya diselesaikan,” katanya.

Beliau turut berharap agar usaha murni berkenaan dapat memberi manfaat dan memudahkan urusan rakyat di negeri itu.

Related Articles

Back to top button