Sukan

Piala Asia 2023: PM Anwar suntik semangat skuad Harimau Malaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan semangat buat skuad Harimau Malaya yang bakal mengharungi cabaran getir Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Jan hingga 10 Feb ini

Menerusi hantaran video di laman Facebook malam tadi, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad bimbingan Kim Pan Gon itu.

Menaruh keyakinan tinggi kepada pasukan tersebut, Anwar optimis Harimau Malaya mampu memberi saingan mantap dalam kejohonan itu.

“Ini pejuang hebat, pasukan Harimau Malaya, bertarung, sabar, kukuh semangat, istiqamah, 42 tahun kita menanti dan sekarang saudara-saudara bangkit sebagai pejuang dan bertarung.

“Kami doakan insya-Allah akan mencapai sukses.

“Sekali lagi diucapkan selamat maju jaya, selamat berjuang kepada pasukan Harimau Malaya,” katanya.

BACA LAGI: KBS galak lebih banyak acara e-sukan bertaraf dunia, mahu Malaysia jadi hab Asia Tenggara

Malaysia diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Jan (1.30 pagi 16 Jan waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Jan) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Sebagai aksi pemanas badan, skuad Harimau Malaya dijadual bertemu Syria pada perlawanan persahabatan antarabangsa pada 8 Jan ini.

Related Articles

Back to top button