Politik

PM Anwar enggan ulas serangan, hanya pesan Tun Mahathir jaga kesihatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas serangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggelarnya sebagai pakar gerakan pintu belakang.

Anwar sebaliknya meminta Mahathir, yang berumur hampir 100 tahun itu untuk menjaga kesihatan dirinya.

“Saya minta Tun (Mahathir) jaga kesihatan,” katanya sambil senyum selepas menyempurnakan wacana strategi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir dalam ciapan di platform X hari ini mengungkit tindakan Anwar yang cuba menggulingkan kerajaan pada 16 September 2008 serta Langkah Kajang pada 2013-14 untuk menukar Menteri Besar Selangor.

“Ada juga langkah yang bersandar kepada ‘I have the numbers’ dan juga langkah ‘strong, formidable and convincing majority’.

“Semuanya adalah langkah untuk mengambil alih Kerajaan secara pintu belakang,” katanya.

Mahathir juga berkata Anwar tidak peduli terhadap kestabilan kerajaan, prinsip demokrasi dan ekonomi dalam usaha menjadi Perdana Menteri melalui pintu belakang.

Mahathir turut menafikan dirinya terbabit dalam gerakan Langkah Dubai yang bertujuan menjatuhkan kerajaan.

“Pertamanya, saya sudah lama tidak ke Dubai.

“Keduanya, sepanjang ingatan saya usaha politik langkah-melangkah, kerajaan pintu belakang atau ‘backdoor government’ adalah kepakaran Perdana Menteri,” sinisnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop pada 30 Disember lalu mendakwa terdapat gerakan baru sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan.

Dakwanya, rancangan yang dipanggil ‘Langkah Dubai’ itu didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan sewaktu percutian di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Related Articles

Back to top button