Semasa

Saranan tangguh PADU sehingga PDPA dipinda tidak berasas – Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menolak gesaan Lawyers for Liberty (LFL) agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga pindaan dibuat ke atas Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.

Bercakap dalam satu sidang media di kementeriannya pada Khamis Rafizi berkata, cadangan itu langsung tidak berasas kerana data-data di bawah agensi kerajaan dikawal oleh akta tertentu.

LFL tegas Rafizi perlu mengetahui perbezaan antara data di bawah APDP dan data awam sebelum membuat gesaan itu.

“Kalau kita mengikut komen-komen daripada Lawyers for Liberty (LFL) maka, kita kena tutup Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen (JIM) kerana PADU ini data yang dikumpul bukan data baharu.

“Jika kita mahu tunggu akta PDPA diluluskan maka, kerajaan tidak boleh teruskan apa-apa proses yang melibatkan rakyat termasuk program subsidi bersasar,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah LFL, Zaid Malek yang mahu pelaksanaan sistem PADU sebelum pindaan APDP mendedahkan orang ramai kepada risiko pencerobohan dan kebocoran, penipuan dan penyalahgunaan lain.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, data awam dikawal selia oleh akta bagi setiap agensi yang mengutip data awam di negara ini.

“Saya berharap LFL akan terlebih dahulu memahami perbezaan antara (data di bawah) PDPA dan data awam. Ini kerana data awam dikawal selia oleh akta bagi setiap agensi yang mengutip data awam.

“Kalau pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perkara kebertanggungjawapan, kerahsiaan data dan pengendalian data penjawat awam telah masuk dalam akta JPJ,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button