Akaun bersumpah untuk tukar kerajaan dah ‘tak laku’ – Ahmad Zahid
Gerakan untuk menjatuhkan kerajaan secara ‘tebuk atap’ dengan menggunakan dokumen akuan bersumpah oleh Ahli Parlimen sudah lagi tidak terpakai.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.menegaskan, penguatkuasaan Akta Antilompat Parti telah menyebabkan penggunaan dokumen akuan bersumpah seperti mana dipraktikkan sebelum ini, tidak lagi relevan.
“Akuan bersumpah tidak lagi digunakan sebagai platform utama sebagaimana sebelum wujudnya Akta Antilompat Parti,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan desas-desus komplot terbaharu dinamakan ‘Langkah Dubai’ digerakkan pembangkang, bermatlamat menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia juga didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun termasuk didakwa menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran sedia ada.
Walau bagaimanapun komplot tersebut yang sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.
Ahmad Zahid sendiri sebelum ini mengakui mengetahui rancangan sulit dipanggil ‘Langkah Dubai’ diketahui sebaik penerbangan membawa pihak tersebut sampai ke Dubai.
BACA LAGI: Drama politik ‘Langkah Dubai’ hanya buang masa- Abang Johari
Malah Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini mengesahkan wujud rancangan di pihak gabungan itu untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan yang dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti.
Sementara itu Ahmad Zahid menegaskan, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, berkuat kuasa Oktober 2022.
Dengan kewujudan akta terbabit, sebarang keputusan besar berkaitan politik, harus dibuat secara en bloc.