hiburan

Fahmi utus takziah buat keluarga Hamdan Senario

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan takziah buat keluarga anggota kumpulan Senario Hamdan Ramli.

Ia susulan berita pemergian Hamdan atau nama sebenar Ahmad Hamdan Mohamed Ramli di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor tengah hari semalam.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Kita semua membesar dengan lawak kumpulan Senario. Hari ini kita terima khabar yang sangat duka.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Hamdan Ramli, pelakon dan pelawak, yang telah meninggal dunia sebentar tadi,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Melalui hantaran itu Fahmi turut mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah dengan pemergian itu.

Hamdan, 54, sebelum ini ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), HSA, sejak Ahad lalu kerana jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.

Ahad lalu, beliau sepatutnya menjayakan persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru bersempena ulang tahun ke-27 Senario.

Namun, Hamdan tidak dapat menyertainya berikutan deman dan terjatuh lalu dikejarkan ke HSA.

Pada 1 Jan lepas, kumpulan Senario dilaporkan memohon peminat agar mendoakan kesembuhan rakan mereka, Hamdan yang telah ditidurkan di HSA selepas didapati mengalami komplikasi buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan isteri Norhamalini Ahmed, 53, serta empat orang anak Muhamad Zeyreen Misha, 31, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.

Pengurus Kumpulan Senario, Nizam Othman memberitahu, Hamdan merupakan seorang yang baik khususnya dalam menjaga solat dan hubungan sesama individu.

Related Articles

Back to top button