FAM harap Harimau Malaya bawa pulang mata di kejohanan Piala Asia 2023
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melihat sudut realistik pasukan negara untuk sekurang-kurangnya membawa pulang mata dari Piala Asia Doha, Qatar.
Menurut beliau, skuad negara berpeluang untuk mencatatkan keputusan positif ketika menentang Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E itu.
“Kalau untuk memperkatakan mengenai realistik sudah tentu untuk dapat mata. Mungkin ada seri atau menang dan mesti ada matalah. Kalau pulang kosong tu tak berapa baguslah.
“Impian kita juga mahu layak ke pusingan 16 terbaik. Katakanlah kita seri dengan Jordan dan menang dengan Bahrain, sekurangnya kita sudah dapat empat mata,” katanya dalam rancangan Bola Itu Life di Astro Arena.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kesukaran untuk skuad kendalian Kim Pan-Gon menentang jaguh Asia, Korea Selatan namun tetap mengharapkan ada sesuatu yang dapat dipamerkan skuad negara.
“Korea Selatan dan Jepun kita kena ingat mereka berada di ranking yang jauh lebih bagus. Jepun di ranking 17 dunia dan Korea Selatan 23 dunia.
“Disebabkan mereka dalam Asia, ramai anggap mereka bertaraf Asia. Tetapi, mereka pernah menewaskan Jerman dan banyak pasukan hebat. Kualiti mereka dah berbeza.
“Kalau dengan Korea Selatan ini, kita dapat ‘attack’ dan bagi saingan kepada mereka pun dah cukup bagus.
“Kita kena berpijak di bumi nyata, kalau dapat beri saingan itu pun dah cukup cantik dan bagus,” katanya.
Harimau Malaya ketika ini telah berada di Qatar dan akan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari sebelum mengharungi aksi Piala Asia.
Bagi saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024, Malaysia dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan pada 15 Januari, Bahrain (20 Januari) dan Republik Korea (25 Januari 2024).
Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari, Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyediakan tayangan skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi ketiga-tiga perlawanan Malaysia dalam aksi peringkat Kumpulan E pada saingan Piala Asia Qatar 2023.