Nasional

KDN, KSM senarai hitam majikan tipu pekerja asing di Pengerang

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandang serius kes eksploitasi pekerja asing yang berlaku di Pengerang, Johor baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Steven Sim Chee Keong menegaskan tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak terlibat kes terbabit yang membawa kepada amalan buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“Pada Disember lalu, terdapat liputan di beberapa saluran media mengenai insiden sekumpulan warga asing berjalan beramai-ramai di Pengerang.

“Susulan itu, KSM telah memanggil majikan terbabit dalam satu sesi yang dihadiri pelbagai kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.

Jelas kenyataan bersama itu lagi, pertemuan kedua-dua menteri pada 3 Januari lalu juga memutuskan beberapa tindakan jangka masa pendek dan panjang dalam menambah baik dasar sedia ada bagi memperkasakan pengurusan pekerja asing.

“Dalam kes Pengerang ini, tindakan bersama KSM dan KDN adalah seperti berikut; tindakan terhadap majikan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran ATIPSOM 2007.

“Tindakan terhadap majikan di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang memperuntukkan penalti am yang jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana mengabaikan pekerja dari segi bayaran gaji dan tidak menyediakan penginapan kondusif,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, tindakan pembatalan Surat Kelulusan Bersyarat telah dikeluarkan kepada majikan dengan pulangan bayaran levi, menyenarai hitamkan majikan daripada permohonan penggajian pekerja asing baharu di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955.

Majikan juga boleh disenarai hitam dari sebarang urusan di Jabatan Imigresen Malaysia termasuk pembaharuan PLKS bagi pekerja sedia ada, membatalkan kuota pekerja asing majikan yang masih berbaki.

“Melaksanakan naziran dan inspektorat kepada majikan-majikan yang telah membawa masuk pekerja asing melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.

“Tindakan-tindakan ini diambil bagi memastikan majikan-majikan melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pekerja asing,” jelas mereka lagi.

Related Articles

Back to top button