Negeri

Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak isyarat kestabilan politik

Penganjuran Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak yang bakal berlangsung 28 Januari ini bukti bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus kekal utuh dalam menerajui negeri itu.

Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, konvensyen itu kelak akan memberi isyarat kepada rakyat Perak bahawa gabungan parti yang membentuk kerajaan kekal fokus untuk membangunkan negeri.

“Sepanjang Kerajaan Perpaduan mentadbir kerajaan negeri, fokus dan matlamat utama yang dilakukan adalah untuk membangunkan serta membawa pelaburan masuk ke Perak.

“Gabungan ini juga komited dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah membabitkan rakyat.

“Ada juga cubaan-cubaan di luar, gosip dan khabar angin seolah-olah kerajaan akan tumbang. Ini perkara yang tidak baik,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital Batu 8 Tambun pada Jumaat.

BACA LAGI: Perak anjur konvensyen sempena setahun penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 28 Januari ini

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis memaklumkan penganjuran konvensyen itu adalah sempena setahun penubuhan kerajaan tersebut.

Ia jelasnya akan dihadiri oleh pemimpin daripada semua parti komponen di dalam kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Azlan berkata, KEADILAN Perak dijangka menghantar 1,500 perwakilan untuk turut sama di dalam konvensyen berkenaan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir pada konvensyen tersebut atas kapasiti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Tambun serta Perdana Menteri yang kini mengetuai kerajaan Perpaduan peringkat Pusat.

“Kehadiran perwakilan pada konvensyen itu nanti akan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button