PM Anwar ziarah Ziauddin Sardar, Abdul Hadi di IJN
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat hadir Institut Jantung Negara (IJN) untuk menziarahi rakannya Sarjana British Profesor Ziauddin Sardar yang sedang menerima rawatan di institusi itu.
Jelasnya, kehadirannya ke IJN bagi melawat Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga dilapor sedang dirawat.
“Saya ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menziarah sahabat saya Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang. Namun doktor memaklumkan, beliau sedang berehat usai menerima rawatan dialisis selepas menjalani beberapa prosedur kesihatan.
“Saya juga sempat melawat sahabat saya Profesor Ziauddin Sardar dan berbicara berkaitan tahap kesihatannya.
“Kita doakan semoga urusan kedua-dua sosok ini dipermudah dan diberikan a’fiat sesegera mungkin oleh Allah SWT,” kata Anwar dalam satu hantaran di laman Facebooknya.
BACA LAGI: Dr Wan Azizah ziarah waris mangsa letupan bunga api
Ziauddin, 72, merupakan penulis pemenang anugerah dan dianggap sebagai intelektual penting di United Kingdom itu pernah berkhidmat sebagai penasihat Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri sebelum ini.
Abdul Hadi, 76, pula dilapor berada di IJN untuk pemeriksaan jantung sejak 1 Jan lepas.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pernah dimasukkan ke hospital, dipercayai akibat sesak nafas pada Februari tahun lalu.
Beliau turut dilaporkan menghadapi masalah kesihatan pada Jun tahun lalu dan beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan serta pemantauan doktor.