Semasa

SPM 2023 diteruskan Isnin ini seperti dirancang

Pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diteruskan seperti dirancang bermula Isnin ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, sekolah yang terjejas akibat bencana itu sudah dipulihkan selain tiada calon SPM terjejas termasuk banjir terbaru melanda beberapa daerah di Johor pada Khamis.

“SPM 2023 akan berjalan seperti dirancang dan akan diteruskan seperti dijadualkan,” katanya.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditemui pemberita selepas melancarkan Misi Bantuan Banjir Pantai Timur anjuran Wanita Keadilan, di Putrajaya pada Jumaat.

SPM 2023 dijadualkan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu; 17 hingga 23 Januari (Ujian Bertutur Bahasa Inggeris); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Melayu); 29 Januari (Ujian Mendengar Bahasa Inggeris) dan 30 Januari hingga 7 Mac (Peperiksaan Bertulis).

Seramai 395,870 calon berdaftar untuk menduduki SPM 2023 selain 129,635 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

BACA LAGI: Anwar umum lulus RM50 juta, bantu rakyat Kelantan terjejas banjir

Sementara itu jelas Fadhlina, pihaknya sudah membuat persediaan awal membabitkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sekiranya ada calon terjejas, kementerian jelasnya akan segera mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan pengalaman mengurus calon-calon SPM ketika banjir sebelum ini.

“Mungkin yang susah sedikit dan terputus jalan akibat banjir, kita akan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan untuk membawa calon ke tempat peperiksaan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button