Politik

AMANAH umum barisan kepimpinan tertinggi, bergerak lebih jitu bagi sesi 2023-2026

AMANAH mengumumkan barisan kepimpinannya bagi sesi 2023-2026 yang menyaksikan seramai 14 lagi Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional dilantik dalam barisan kepimpinan tertinggi.

Setiausaha Agung baharu, Faiz Fadzil berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan keputusan sebulat suara dalam kalangan 27 orang jawatankuasa pimpinan yang bermesyuarat hari ini selepas dipilih dalam Konvensyen AMANAH Nasional 24 Disember lalu.

“Menyedari tuntutan politik yang semakin mencabar, AMANAH sebagai salah satu komponen kerajaan Madani, meningkatkan komitmen untuk bergerak dengan lebih jitu bagi sesi 2023-2026.

“Kesungguhan ini adalah bagi memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ini kekal utuh dan stabil demi menjamin pembangunan negara yang mampan dan kehidupan rakyat yang sejahtera,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Mesyuarat pertama yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini turut menyaksikan pertambahan dua lagi Naib Presiden menjadikan AMANAH mempunyai lima Naib Presiden.

AMANAH sebelum ini sudah pun melantik tiga Naib Presidennya iaitu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bekas EXCO Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Dua lagi Naib Presiden yang baharu dilantik ialah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

Bagi mengangkat suara akar umbi, Faiz berkata, pelantikan Pengerusi AMANAH di peringkat negeri akan dibuat dalam mesyuarat AMANAH Nasional yang akan datang setelah notis bertulis yang cukup diberikan kepada setiap kawasan AMANAH seluruh negara bagi menamakan calon yang sesuai dan layak untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Presiden dan JKP.

“Mesyuarat AMANAH Nasional turut meluluskan kerangka pelan strategi yang dicapai melalui pemukiman pada 6 Januari 2024 dengan objektif untuk menguatkan parti melalui agenda mengukuhkan organisasi, membina kemantapan ahli melalui nilai-nilai yang dikongsi bersama dan mengasaskan identiti perjuangan.

“Ia termasuk pendekatan politik yang disegani rakyat Malaysia berteraskan prinsip amanah, adil dan rahmat untuk semua,” katanya.

Berikut senarai barisan kepimpinan penuh AMANAH:

Presiden: Datuk Seri Mohamad Sabu

Timbalan Presiden: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden 1: Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Naib Presiden 2: Dr Siti Mariah Mahmud

Naib Presiden 3: Adly Zahari.

Naib Presiden 4: Datuk Mahfuz Omar

Naib Presiden 5: Senator Datuk Dr Mohd Hatta Ramli

Setiausaha Agung: Muhammad Faiz Fadzil

Timbalan Setiausaha Agung: Pn Norhayati Bidin

Penolong Setiausaha: Mohd Faizul Salleh

Penolong Setiausaha: Ustaz Ridzwan Abu Bakar

Setiausaha Organisasi: Abang Mohd Kerdee Abang Masagus

Bendahari Agung: lr Izham Hashim

Pengarah Komunikasi: Khalid Abd Samad

Pengarah Strategi: Ahmad Sabki Yusof

Pengarah Pembagunan Sumber Manusia: Suhaizan Kaiat

Pengarah Syariah: Datuk Dr Hasan Bahrom

Pengarah Pilihanraya: YB Mohd Sany Hamzan

Related Articles

Back to top button