Negeri

Kerajaan Johor laksana ‘Ops Payung’ pastikan calon SPM duduki peperiksaan

Kerajaan Negeri Johor akan melaksana ‘Ops Payung’ bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi membantu calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di lokasi terjejas banjir di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Pendidikan Johor Norlizah Noh berkata, ia memastikan kedua-dua peperiksaan akan berjalan seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tambahnya, operasi itu akan melibatkan kaedah penyelesaian bagi memastikan pelajar yang terkesan pusat peperiksaan atau kawasan persekitaran, kediaman calon atau jalan ke pusat peperiksaan terjejas banjir tetap akan dapat menduduki peperiksaan.

“Sebagai contoh, jika jalan menuju ke pusat peperiksaan sahaja yang terlibat banjir sedangkan kediaman calon dan pusat peperiksaan tidak terlibat, maka, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan membawa calon ke pusat peperiksaan.

“Kebebasan berpakaian diberikan kepada calon semasa peperiksaan dijalankan, kebajikan calon dan petugas peperiksaan juga adalah tanggungjawab pihak sekolah serta sekolah akan menyediakan peralatan menjawab kepada calon yang terlibat dengan banjir,” kata Norlizah menerusi kenyataan.

BACA LAGI: SPM 2023 diteruskan Isnin ini seperti dirancang

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang dirancang esok akan tetap diteruskan.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya sudah membuat persediaan awal membabitkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu Norlizah memaklumkan seramai 48,276 pelajar di Johor akan menduduki SPM pada 8 Jan hingga 7 Mac ini dan 8,831 pelajar menduduki STPM bermula 22 Jan hingga 6 Feb.

Sehubungan itu hanya sekolah rendah di negeri itu akan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat peperiksaan awam SPM dan STPM.

Related Articles

Back to top button