Semasa

Pasukan PEDi, MPP bakal main peranan bantu orang ramai daftar PADU

Pasukan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) akan digerakkan membantu masyarakat mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam Sistem Pangkalan Padu Utama (PADU).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita pada satu program di Kuala Lumpur semalam berkata, ia bagi mencapai sasaran 29 juta warganegara Malaysia mendaftar PADU menjelang 31 Mac depan.

“Kita ada mekanisme contohnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kita ada MPP dan tempat lain juga ada struktur sama. Jadi selain PEDi, jentera-jentera ini boleh dikerahkan untuk bantu komuniti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai sebelumnya meninjau Program Jualan Termurah, Berkhidmat Untuk Rakyat di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi

Selain itu tambah Fahmi berkata, Ahli Parlimen juga boleh menggerakkan jentera mereka dalam menggalakkan lagi proses pendaftaran PADU bagi mencapai sasaran itu.

“Tempohnya baharu sahaja seminggu dibuka, yang celik teknologi maklumat mungkin sudah berjaya isi tetapi untuk capai sasaran menjelang hujung Mac, saya lihat bukan hanya bergantung pada PEDi tetapi Ahli Parlimen juga boleh main peranan,”tambahnya.

BACA LAGI: PADU dilancar untuk henti ketirisan, kebocoran

Menyentuh kenyataan seorang aktivis politik yang berharap bahawa PADU tidak dijadikan bahan kempen ketika Pilihan Raya Umum ke-16 kelak, Fahmi berkata ia tidak akan disalah guna.

“Kalau sebelum ini ada pihak salah guna (program kerajaan), namun kita tidak berhasrat untuk melakukan perkara sama. Cara kita berkempen berbeza Insya-Allah tidak akan menyalahgunakan (PADU).

“Fungsi PADU memberi peluang kepada rakyat memasukkan data peribadi mereka secara ‘hampir waktu nyata’ dengan manfaat utamanya adalah bagi yang memerlukan bantuan, sokongan termasuk pemberian subsidi, itulah fungsi utamanya,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button