Umum

Permaisuri Johor santuni mangsa banjir di tiga PPS Kota Tinggi

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah, berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kota Tinggi, petang semalam.

Baginda berangkat ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota yang menempatkan 205 mangsa banjir daripada 52 keluarga, sebelum ke PPS Sekolah Kebangsaan Laksamana yang menempatkan 243 mangsa daripada 56 keluarga.

Baginda turut berangkat ke PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi yang menempatkan 185 mangsa daripada 50 keluarga.

Raja Zarith Sofiah juga berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama mangsa banjir dengan bertanyakan khabar dan keadaan mereka.

Dalam lawatan baginda juga mengurniakan kit penjagaan kebersihan diri kepada setiap keluarga di PPS menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), selain menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi.

Turut disampaikan bakul makanan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) serta bantuan lain daripada Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (JKM), Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Southern Volunteers (SV).

Baginda juga berkenan diberikan taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir mengenai tebatan banjir di Kota Tinggi, serta rancangan yang diambil kerajaan negeri dalam mengatasi masalah bencana alam berkenaan.

Banjir di Johor beransur pulih apabila jumlah mangsa terus menunjukkan tren menurun apabila hanya 338 orang daripada 92 keluarga masih berada di enam PPS setakat jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa di Mersing kini mencatatkan penurunan kepada 170 orang daripada 45 keluarga di dua PPS.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi pula seramai 84 orang daripada 19 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS manakala di Kluang, 84 mangsa banjir daripada 28 keluarga di sebuah PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Related Articles

Back to top button