Semasa

Setiausaha Politik MB terkejut wartawan sanggup ceroboh kediaman rasmi

Tiga individu berusia antara 31 hingga 35 tahun ditahan polis kerana menceroboh masuk dalam kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dipetik laporan media berkata suspek yang merupakan wartawan di sebuah syarikat penerbitan pro pembangkang kini sedang disiasat.

Siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan kereta Proton Waja untuk memasuki kediaman berkenaan melalui Pondok Pos Pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaan negeri.

“Kesemua suspek memberi alasan untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman berkenaan tetapi tidak mempunyai jemputan secara rasmi daripada pihak Menteri Besar Selangor

“Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.

BACA LAGI: Shamsul Iskandar lapor polis terhadap Chegubard, didakwa seleweng dana NGO

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 29 saat, memaparkan tiga individu yang dipercayai menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 Shah Alam.

Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad mengesahkan insiden pencerobohan itu.

Saifuddin berkata, beliau terkejut dengan tindakan mereka yang memasuki kediaman Datuk Seri Amirudin Shari dengan cara begitu.

“Kejadian itu telah diserahkan kepada polis bagi tindakan susulan,” katanya.

Related Articles

Back to top button