Hasina kekal sebagai PM Bangladesh selama lima penggal, menang PRU tanpa lawan
Sheikh Hasina, 76, kekal Perdana Menteri Bangladesh buat lima penggal berturut-turut meskipun pilihan raya umum (PRU) diboikot semua parti pembangkang yang beliau label sebagai pertubuhan pengganas.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Liga Awami yang dianggotai Hasina diumumkan memenangi PRU Bangladesh hari ini, walaupun peratusan keluar mengundi amat rendah iaitu dianggarkan kurang 40 peratus.
Walaupun menggalas amanah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara itu yang pernah dilanda kemiskinan, kerajaan diterajui Hasina didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa lagi kejam terhadap pembangkang.
Dalam PRU itu, Liga Awami tidak menghadapi cabaran besar di mana-mana kerusi ditandingi calon parti berkenaan tetapi tidak meletakkan calon di beberapa kawasan pilihan, yang dilihat sebagai langkah mengelak badan perundangan dilabel sebagai monopoli satu parti.
Blok pembangkang, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang didakwa ditindas pentadbiran Hasina, melancarkan mogok umum dan enggan menyertai PRU kerana menganggapnya sebagai ‘pilihan raya palsu’.
Meskipun keputusan akhir dan angka tepat akan diumum secara rasmi hari ini, pegawai SPR berkata parti dianggotai Hasina menang sekitar tiga perempat kerusi bersamaan sekurang-kurangnya 220 daripada 300 kerusi.
Hasina dijangka lebih berkuasa di Parlimen dengan sokongan ahli Parlimen lain termasuk dari parti bersekutu, akan menyatakan sokongan terhadap beliau.
Ketua BNP, Tarique Rahmah, yang kini berada di Britain kerana dibuang negara, mendakwa, beliau bimbang undi palsu mengundi.
BNP dan parti pembangkang lain mengadakan protes selama berbulan-bulan, menuntut pengunduran Hasina sebelum PRU berlangsung.
Mogok dianjurkan parti pembangkang dekat bandar pelabuhan Chittagong memdakwa anggota keselamatan melepaskan tembakan senapang patah dan gas pemedih mata.
Sementara itu, aktivis hak asasi manusia dari Human Rights Watch, Meenakshi Ganguly, berkata kerajaan gagal meyakinkan penyokong pembangkang untuk menjalankan pilihan raya yang adil sambil memberi amaran ramai bakal berada dalam ketakutan kerana bimbang dengan tindakan keras oleh kerajaan pimpinan Hasina. – AFP