Semasa

JAKOA Johor pastikan bekalan makanan untuk masyarakat Orang Asli sentiasa cukup

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor akan memastikan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli terjejas banjir termasuk yang terputus hubungan, sentiasa mencukupi.

Pengarahnya Faisal Long berkata, setakat ini tiga Kampung Orang Asli (KOA) di Mersing dan enam KOA di Kluang terjejas hubungan susulan banjir.

Susulan itu jelasnya, pihaknya telah menghantar 130 bakul makanan kepada mangsa yang terletak di dua kampung di daerah Mersing iaitu Kampung Punan dan Kampung Tewowoh dengan turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat; Agensi Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita juga akan menghantar sebanyak 220 bakul makanan di daerah Kluang pada 10 Januari nanti dan antara perkampungan Orang Asli yang terjejas kali ini ialah Kampung Pucur, Kampung Sungai Peroh dan Kampung Sedohok.

“Bagi mangsa di Kampung Peta di Mersing, bekalan bakul makanan telah dihantar beberapa hari lepas dan masih mencukupi,” katanya dipetik Bernama.

BACA LAGI: Peruntukan untuk Orang Asli ditambah melalui Belanjawan 2024

Sementara itu beliau turut memaklumkan, pihak JAKOA telah mengeluarkan 11 pelajar dari Kampung Punan dan Kampung Tewowoh, Mersing dan seorang penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kuala Lipis, Pahang, dari Kampung Punan, Mersing.

Pelajar terbabit jelasnya akan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar, Mersing.

“Kita juga telah berjaya mengeluarkan seorang ibu yang sarat mengandung dan seorang pesakit kanser dari Kampung Punan dengan bantuan pejabat kesihatan daerah untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital,” tambahnya.

Sementara itu jelas Faizal, bagi mangsa banjir yang memerlukan bantuan tambahan mereka disarankan berhubung dengan pusat kawalan operasi banjir (PKOB).

Related Articles

Back to top button