Semasa

Kerajaan peruntukkan RM255 juta untuk program penyeragaman harga barangan

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM255 juta bagi tahun ini untuk pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming dari pusat bekalan ke pusat jualan (PoS to PoS) untuk tujuan penyeragaman harga di kawasan pedalaman.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan program itu melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan yang terpilih daripada pusat/sumber bekalan kepada pusat penjualan di kawasan pedalaman dan pulau.

Program itu jelasnya akan membabitkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terangganu, Pahang dan Kedah.

“Melalui program ini, kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih dibiayai oleh kerajaan.

“Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel,” katanya.

“Objektif program ini adalah untuk memastikan penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga yang sama yang dinikmati oleh penduduk di kawasan lain,” katanya melalui satu kenyataan media.

BACA LAGI: Kerajaan sedaya upaya bantu rakyat tangani isu harga barang – PM Anwar

Sementara itu tambahnya, penambahbaikan tatacara perolehan melalui kaedah tender terbuka dilaksanakan pertengahan tahun lepas, manakala penambahbaikan mekanisme kawalan dan pematuhan sedia ada berdasarkan pelaporan secara manual sedang dijalankan.

β€œIa termasuk pengukuhan pelaporan bergambar dan menilai pembangunan sistem khas dengan mengambil kira isu kebolehcapaian internet di pedalaman,” katanya susulan tinjauan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Tenom. Sabah pada Ahad.

Mengenai tinjauan itu, Armizan berkata ia bertujuan memantau pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat penghantaran yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan terpilih daripada pusat bekalan kepada pusat penjualan di pedalaman.

Related Articles

Back to top button