Semasa

Kesusahan lelaki OKU dapat perhatian Isteri Perdana Menteri

Kesusahan dihadapi Nor Aliff Mohd Nor yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal mendapat perhatian Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada Ahad meluangkan masa menziarahi Nor Aliff sekaligus menyampaikan sumbangan di kediamannya di Perumahan Awam Sri Johor di Cheras. Kuala Lumpur.

Selain sumbangan dalam bentuk wang tunai, kediaman yang dihuni bersama dua orang lagi adik-beradiknya sejak kematian ibu dan bapa mereka turut dibersihkan dalam satu aktiviti gotong-royong.

Menurut Dr Wan Azizah, Nor Alif, 37, selain mengalami cacat fizikal turut juga menghidap penyakit jantung, kencing manis, gout dan lumpuh separuh badan.

Tegasnya, banyak perkara yang perlu dibantu dan difahamkan Nor Aliff juga ada berhutang dengan hospital yang menyebabkan rawatannya perlu dihentikan.

Susulan itu jelasnya bermula bulan ini Nor Aliff akan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 selain sedikit bantuan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), sebuah katil dan juga rawatan.

“Jadi, kita sedang usahakan untuk menyambung semula rawatannya itu. Kita juga akan bagi bantuan makanan untuk adik-adiknya selain akan cuba permudahkan urusan persekolahan mereka,” kata Wan Azizah kepada pemberita selepas menyantuni pemuda berkenaan.

BACA LAGI: Dr Wan Azizah ziarah waris mangsa letupan bunga api

Difahamkan, Nor Aliff kini menetap bersama dua adik-beradik lain yang berusia 14 dan 16 tahun setelah kematian ibu bapa mereka.

Sementara itu menurut Dr Wan Azizah, inisitif yang dilakukan oleh YWP adalah selari dengan konsep Malaysia Madani yang mementingkan nilai murni dan ehsan dalam kehidupan harian seterusnya tidak meninggalkan golongan miskin dan daif dalam kepesatan pembangunan negara.

“Kita juga sangat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan serta menoktahkan kemiskinan bandar seperti hasrat Perdana Menteri,” ujar beliau.

Related Articles

Back to top button