KSM jadikan ABMS sebagai panduan tangani rasuah di semua agensinya
Kementerian Sumber Manusia (KSM) bakal menggunakan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) sebagai panduan kepada semua jabatan serta agensi bawahnya.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata ia sebagai usaha mengukuhkan tadbir urus serta mengenal pasti risiko rasuah dan salah guna kuasa.
Ketika ini inisiatif itu jelasnya telah mula diguna pakai Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Pelaksanaan ABMS ini adalah langkah proaktif untuk memastikan kakitangan PTPK mematuhi etika kerja serta menunjukkan komitmen yang tinggi membanteras rasuah dalam perkhidmatan awam.
“Matlamat berkenaan juga selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang mengutamakan integriti dan kecekapan dalam pentadbiran awam,” katanya dalam kenyataan.
BACA LAGI: SPRM siasat dakwaan rasuah dana program Keluarga Malaysia
Mengulas lanjur Sim berkata, pembangunan sistem itu didorong prestasi cemerlang PTPK yang mencatatkan risiko tahap sederhana menerusi penarafan semula risiko oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi 2023.
PTPK selaku pembiaya utama latihan kemahiran negara jelasnya terus komited memperkasa agenda pembangunan modal insan negara terutama dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menyediakan pembiayaan bagi menggalakkan masyarakat mengikuti bidang kemahiran.
“PTPK sentiasa cakna dan memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan yang terbaik dan sekali gus menyokong kepada pemacu perubahan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menambah baik ekosistem TVET bagi membangunkan bakat tersedia pada masa hadapan,” tambahnya.