PM Anwar akan rujuk JAKIM sebelum petik ayat al-Quran serta tafsir
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan terus memetik ayat-ayat al-Quran beserta tafsirannya dalam setiap perhimpunan bulanan bersama penjawat awam.
Jelasnya, meskipun ucapannya mengenai kisah Ashabul Kahfi baru-baru ini mencetuskan polemik sesetengah pihak, beliau berkata ia akan menggalakkan perbahasan dan mencambahkan ilmu pengetahuan.
Bagaimanapun, tambahnya, dia akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kontroversi pada masa hadapan.
“Jadi bulan-bulan lain saya baca ayat Quran lain dan tafsir. Tapi saya rujuk JAKIM dulu supaya elak kontroversi,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Majlis perjumpaan berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada masa yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu program digital dilaksanakan dengan lebih drastik dan agresif bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara lain.
Jelasnya, penubuhan Kementerian Digital dalam rombakan kabinet yang lalu dilakukan bagi memberi fokus dalam bidang berkenaan.
“Program digital harus dilakukan drastik, agresif daripada yang dahulu, kalau tidak kita akan ketinggalan, begitu juga program lain di kementerian lain umpamanya digital.
“Saya tidak fikir Malaysia boleh bersaing dengan pantas, dengan tahap kelajuan yang dicapai oleh negara lain tanpa fokus dalam bidang digital,” katanya.