Semasa

Polis serah kertas siasatan insiden ceroboh kediaman MB Selangor kepada TPR hari ini

Kertas siasatan kejadian tiga individu menceroboh masuk ke dalam kediaman rasmi Menteri Besar (MB) Selangor akan diserah kepada kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) negeri hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya berjaya menyelesaikan siasatan kes tersebut pada Ahad, sekalipun diberi tempoh reman yang singkat.

“Mereka diberikan jaminan polis dan siasatan telah selesai dalam tempoh reman diberi.

“Kita akan rujuk kertas siasatan kepada TPR Selangor,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik media pada Ahad.

BACA LAGI: Setiausaha Politik MB terkejut wartawan sanggup ceroboh kediaman rasmi

Media sebelum ini melaporkan tiga suspek berusia antara 31 hingga 35 tahun dikenakan perintah direman dua hari oleh Mahkamah Majistret untuk disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan kereta Proton Waja untuk memasuki kediaman berkenaan melalui Pondok Pos Pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaan negeri.

Suspek termasuk seorang yang didakwa wartawan sebuah syarikat penerbitan pro pembangkang memberi alasan untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman berkenaan namun tidak mempunyai jemputan secara rasmi.

Related Articles

Back to top button