Nasional

Enam inisiatif bantu petani, penternak, peladang dan nelayan terjejas akibat banjir – Mohamad

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM50 juta bagi membantu petani, penternak, peladang dan nelayan yang terjejas akibat bencana banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan menerusi Tabung Bencana Pertanian itu akan memberikan nilai pampasan sehingga 50 peratus daripada jumlah kerugian.

“Turut disediakan RM2.6 bilion meliputi subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan serta peningkatan harga lantai belian padi daripada RM1200 kepada RM1300.

“Pada masa sama, Skim Takaful Tanaman Padi akan diperkenalkan dengan dana RM50 juta serta subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 seliter kepada nelayan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mohamad berkata, KPKM akan memastikan kumpulan sasar pertanian yang terjejas terus dibantu sehingga pulih dan dapat beroperasi semula seperti sedia kala.

“Selain itu, turut disediakan Elaun Sara Hidup RM300 sebulan serta Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1000 sebulan dan RM10 juta untuk pembinaan rumah nelayan yang uzur.

“Agrobank turut menyediakan dana pinjaman sehingga RM430 juta dan moratorium sehingga enam bulan bagi mereka yang terjejas dengan banjir,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 di RTC FAMA Tunjung, Kota Bharu Kelantan.

Mohamad berkata, beliau berharap dengan bantuan yang disediakan dapat meringankan beban yang dihadapi.

Related Articles

Back to top button