Harimau Malaya seri 2-2 pada aksi persahabatan menentang Syria menjelang Piala Asia 2023
Skuad Harimau Malaya mengikat Syria 2-2 dalam aksi pemanas badan menjelang kempen Piala Asia di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar, awal pagi tadi.
Ini adalah kali kedua Malaysia mengikat Syria selepas persabahatan di China, Sepember lalu sekaligus satu-satunya perlawanan ujian buat anak buah Kim Pan-gon sebelum memulakan saingan Kumpulan E dengan menentang Jordan, pada awal pagi Selasa depan waktu Malaysia.
Keputusan mengikat Syria yang berada pada kedudukan ranking 91 dunia itu memberi petanda positif untuk berdepan Jordan nanti.
Dalam aksi itu, Pan-gon menurunkan hampir kesemua pemain bagi menguji keupayaan anak didiknya selepas tiba ke Qatar sejak minggu lalu.
Malaysia yang menduduki ranking 130 dunia bermula garang apabila mendahului aksi menerusi jaringan pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39 di babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Syria yang diletakkan dalam Kumpulan B dan akan membuka kempen Piala Asia menentang Uzbekistan Ahad ini, tampil lebih tersusun.
Hasilnya mereka berjaya meraih dua gol melalui Pablo Sabbag pada minit ke-70 dan Ibrahim Hesar, minit ke-74.
Skuad Harimau Malaya tidak menyerah kalah apabila tonggak naturalisasi, Paulo Josue mengikat kedudukan di minit ke-78.
Selain berdepan Jordan pada aksi pertama Piala Asia nanti, skuad negara turut bertemu dua lagi lawan dalam Kumpulan E, Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan (25 Januari).