Negeri

AMK gesa kerajaan Kelantan selesai isu penduduk Jalan Atas Paloh secara adil

Kerajaan Negeri Kelantan digesa menyelesaikan isu pengusiran penduduk yang tinggal di kawasan setinggan dekat Jalan Atas Paloh, Kota Baharu dengan adil.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi melontar gesaan itu sebagai mengulas rintihan penduduk terbabit yang mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Walaupun tanah tersebut bukan milik kekal mereka tetapi atas sifat perikemanusiaan, kerajaan negeri perlu bersimpati dengan nasib penduduk dan memikirkan kebajikan rakyat.

“Pandangan saya perlu bagi pampasan yang setimpal kerana penduduk terbabit sudah lama menetap di kawasan itu, sebelum merdeka lagi,” katanya dipetik laporan media.

Mohamad Ezzat turut mendakwa penduduk merasakan diri mereka dianiaya dan tertipu apabila kediaman sementara di Jalan Pantai Cahaya Bulan sebagai yang dijanjikan kerajaan negeri pada 20 September lalu tidak wujud hingga ke hari ini.

Isu pengusiran penduduk terbabit mendapat perhatian ramai di media sosial.

Penduduk mendakwa hanya diberi pampasan antara RM1,000 hingga RM1,500 yang dianggap tidak mencukupi mengambil kira kerugian dialami termasuk kos rumah yang dirobohkan itu.

BACA LAGI: Dr Zaliha atur pertemuan, selesai isu penduduk Kampung Setia Jaya

Seorang aktivis rakyat dari Negeri Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali melalui satu hantaran turut membandingkan pentadbiran Kelantan dengan Pulau Pinang dimana nasib dihadapi penduduk di negeri ditadbir DAP itu lebih adil.

“Pulau Pinang boleh bagi rumah baru bernilai RM350,000 – RM500,000 sebuah kepada 340 keluarga di Tanjung Tokong.

“Di Kelantan mereka bagi RM500 sahaja pampasan sebelum roboh, RM500 lagi selepas dirobohkan,” katanya dalam ciapan itu.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim pula berkata kerajaan negeri seharusnya mengadakan perbincangan dan berunding dengan penduduk mengenai jumlah pampasan yang munasabah atau membina rumah mampu milik untuk mereka.

Related Articles

Back to top button