Semasa

Kerajaan bakal perkukuh Akta 792, perluas skop perlindungan kanak-kanak

KERAJAAN sedang menjalankan kajian sewajarnya untuk memperkukuh dan memperluas skop perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu untuk menangani isu berkaitan eksploitasi seksual dalam talian terhadap golongan itu.

“Jenayah eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak merupakan satu isu yang merentasi sempadan.

“Langkah ini bagi memberi perlindungan lebih baik kepada mangsa tanpa mengira lokasi geografi pelaku,” kata Azalina melalui satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, di bawah Akta 792, kesalahan berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam talian melibatkan enam kategori dan hukuman dengan tempoh pemenjaraaan lima hingga 30 tahun serta sebatan.

Akta itu juga jelasnya turut memperuntuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian yang lain termasuk pengantunan kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan golongan tersebut dan menyebabkan mereka memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Seksyen 3 dibawah akta itu pula jelasnya memperuntuk mana-mana warganegara yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak di luar negara boleh dianggap sebagai melakukan perbuatan tersebut di Malaysia dan tindakan boleh diambil terhadap rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan sedemikian di luar negara.

Sepanjang 2023 katanya, dua pindaan baharu telah diluluskan untuk memerangi jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian iaitu Seksyen 15A yang memperuntuk kesalahan berkaitan persembahan seksual oleh kanak-kanak manakala Seksyen 15B berkaitan pemerasan seksual kanak-kanak.

Related Articles

Back to top button