KPKM mahu benteras kartel, sedia audit 39,000 pemegang lesen
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia menjalankan audit ke atas semua pemain industri beras di negara ini dalam usaha membanteras isu kartel.
Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa ini, terdapat seramai 39,000 ‘pemain’ industri beras terdiri dari pemegang lesen borong beras, eksport, import, kilang padi, membeli padi, beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS).
Tambah Mohamad Sabu, beliau akan turun padang bagi mengadakan lawatan mengejut bagi melihat sendiri isu yang dibangkitkan seperti yang dilakukan sebelum ini.
“Saya sendiri turun secara mengejut tanpa memaklumkan kepada mana-mana pihak berhubung kedudukan beras dan segala bentuk pemakanan di negara ini.
“Alhamdulillah sekarang, masalah ini beransur pulih kerana kami bertindak bersama semua pihak,” katanya.
Mohammad Sabu sebelumnya ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pembiakan dan Penternakan Lembu Wagyu di Ladang Kelfarm Sdn Bhd di Bachok, Kelantan pada Isnin.
BACA LAGI: KPDN ketatkan penguatkuasaan, benteras golongan kaut ‘untung atas angin’
Sementara itu beliau menegaskan, KPKM melalui agensinya iaitu Kawal Sedia Padi dan Beras Negara (KSPBN) akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Selain itu, pihaknya juga akan menjalankan siasatan dan bertindak bersama KPDN bagi menangani isu kartel.
“Kami lakukan siasatan bersama KPDN kerana mereka ini yang bertindak menjaga hal-hal berkaitan kartel.
“Sekarang terdapat kes yang berada di peringkat pendakwaan,” tambahnya.