ekonomi

KUSKOP salur RM5.09 bilion sebagai bantuan pembiayaan untuk usahawan sepanjang 2023

Sebanyak 187 program telah dilaksana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi di bawahnya sepanjang tahun lalu.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, melalui agensi-agensinya, KUSKOP telah memperkenal dan melaksanakan lebih 22 program, skim dan bantuan yang memberi manfaat kepada 755,909 usahawan di seluruh negara.

Dalam tempoh itu juga jelasnya 292,530 individu telah mendapat manfaat daripada pembiayaan mikro kredit, geran keusahawanan pinjaman mudah dan pembiayaan alternatif membabitkan RM5.09 bilion yang disalurkan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP.

“Pembiayaan itu termasuklah mikro-kredit, geran keusahawanan, pinjaman mudah dan pembiayaan alternatif untuk kita bantu usahawan kita semua,” katanya dipetik laporan media.

Beliau sebelumnya berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di Kota Belut, Sabah yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu tambahnya, melalui program pembudayaan keusahawanan, 326,474 usahawan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah menyertai 24 program yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi di bawahnya itu.

“Tahun ini KUSKOP akan melaksanakan beberapa inisiatif dan projek baharu, termasuklah Program Rangsangan Koperasi Pelancongan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Projek Tamu Desa,” katanya.

Beliau sementara itu berkata, antara aspirasi utama KUSKOP tahun ini adalah untuk meningkatkan penyertaan usahawan PMKS dalam industri berimpak tinggi bagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global sekaligus meneruskan program pembangunan dan pengukuhan usahawan.

Related Articles

Back to top button