Laporan polis seluruh negara dibuat, pihak berkuasa digesa siasat ‘Langkah Dubai’
Gerakan Langkah Dubai jelas tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menggugat sistem demokrasi berparlimen, malah sia-sia kerana kewujudan Akta Antilompat Parti, tegas Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akid.
Shamsul yang juga Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri susulan itu membuat laporan polis mengenai perkara itu bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat gerakan yang jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan itu.
“Saya membuat satu laporan polis bagi menyiasat gerakan yang didakwa sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.
“Pendedahan dibuat oleh seorang penulis blog dikenali sebagai Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
“Saya ingin menyatakan kepada mereka di luar sana, Malaysia ini ada undang-undang, ada peraturan, ada perlembagaan dan kita sudah melalui episod ini banyak kali dan kita sudah beri penamatnya dengan adanya Akta Antilompat Parti,” katanya selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Isnin.
Sementara itu Shamsul turut memberitahu laporan sama turut dibuat serentak di 12 negeri antaranya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.
BACA LAGI: Tak perlu ganggu usaha kerajaan wujudkan kestabilan – Ahmad Zahid
Beliau sementara itu menggesa sebarang usaha mensabotaj pentadbiran sedia ada wajar dihentikan segera.
Sebarang percubaan menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak bertanggungjawab itu boleh memudaratkan demokrasi, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam.
Sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidastabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara juga mesti digagalkan.