ekonomi

Lebih sejuta rakyat sudah mendaftar dengan sistem PADU – Rafizi

Lebih sejuta rakyat Malaysia telah berjaya berdaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat hari ini sejak ianya dilancarkan.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, jumlah angka tersebut termasuk kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

“Seluruh jentera kerajaan turun membantu untuk memastikan kita meminimumkan risiko keciciran dalam pelaksanaan subsidi bersasar melalui pendaftaran PADU.

“Teruskan momentum untuk beralih ke bantuan bersasar,” katanya menerusi satu ciapan di laman sosial X, hari ini.

Sementara itu, Rafizi turut menyatakan beliau memohon kerjasama dan bantuan rakyat dalam beberapa perkara.

“Bagi yang belum mendaftar, saya memohon agar segera mendaftar di pautan https://www.padu.gov.my/.

“Saya turut berharap agar orang ramai dapat membantu mendaftarkan, ibu bapa, keluarga dan jiran yang kurang mahir dengan digital termasuk jika ada keluarga miskin di sekeling kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan Rafizi berkata, sistem PADU telah dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga.

Belia turut mengambil maklum berkenaan siaran media sosial oleh sebuah stesen radio tempatan mengenai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Accio Technologies, Dr. Cher Han Lau yang mendakwa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan PADU.

“Setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan oleh Dr. Cher adalah tidak benar.

“Pasukan Analitik PADU telah menjemput Dr. Cher hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia (upskilling) dalam sains data berdasarkan keupayaan beliau dalam pembangunan data raya (big data) dan ‘machine learning’,” katanya.

Tambah Rafizi, proses pembangunan, pengumpulan atau pembersihan data PADU tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button