Anwar

LHDN, JKDM membanggakan lepasi sasaran kutipan hasil negara – PM Anwar

Kutipan hasil negara dua agensi utama di bawah Kementerian Kewangan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membanggakan apabila melepasi sasaran ditetapkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, JKDM sendiri akhirnya memenuhi unjuran kutipan hasil ditetapkan iaitu melepasi RM55 bilion tahun lalu berbanding RM53 bilion tahun sebelumnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, LHDN pula merekodkan kutipan hasil RM183 bilion melepasi RM176 bilion yang disasarkan.

“Terima kasih kepada kastam (JKDM) kerana akhirnya capai unjuran yang tidak selalu kita capai. Kalau kastam (JKDM) memang lebih daripada yang diunjurkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Pada masa yang sama Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana berjaya mengutip hasil tertinggi.

Mengulas lanjut, Anwar menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak hanya memfokuskan keuntungan, tetapi perlu mengambil tanggungjawab korporat lebih besar dalam pembinaan negara.

“Melangkah ke hadapan, Kementerian Kewangan akan menyelaras usaha untuk memastikan GLIC dan GLC melakukan pelbagai perkara.

“Antaranya, melaksanakan pelaburan strategik yang selari Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), serta menyokong transformasi ekonomi Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button