Mahkamah

Palsukan dokumen “Back To School”: bekas pemimpin Bersatu Terengganu didenda

Bekas Ketua Srikandi Bersatu Terengganu,dijatuhkan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas kesalahan memalsukan permohonan sumbangan bagi mengadakan program “Back To School” pada 2020.

Tertuduh, Roslilawati Mukhtar , 45, turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Roslilawati mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengerusi Pertubuhan Komuniti Gemilang Terengganu dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen senarai nama 100 pelajar asnaf bagi program tersebut yang mana tertuduh tahu dokumen itu palsu.

Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen itu kepada Ketengah Holding Sdn Bhd bagi mendapatkan bantuan berjumlah RM5,000 yang mana tertuduh mengetahui dokumen berkenaan palsu.

Program itu bagaimanapun tidak dijalankan oleh tertuduh, selain dokumen senarai penerima pula menunjukkan sebanyak 25 nama digunakan secara berulang.

BACA LAGI: Pembangkang sudah tiada isu yakinkan penyokong

Terdahulu, Mohd Azhar ketika membacakan keputusan itu berkata, hukuman setimpal wajar dikenakan kerana kesalahan terbabit boleh menyebabkan ketirisan dana awam yang lebih besar jika tidak dibendung.

“Mahkamah berdoa agar hukuman ini menjadi pengajaran berguna kepada kamu dan juga masyarakat di luar sana agar tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button