Tatakelola diperkukuh, lantikan ke Badan Berkanun Persekutuan lalui semakan keutuhan
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, satu garis panduan baharu sudah dipersetujui untuk menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 dengan menggariskan beberapa pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola.
Melaluinya, semua proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) diwajibkan melalui semakan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang diadakan pada Isnin bagi membincangkan langkah pemantapan tatakelola BBP.
“Selaras dengan prinsip ketelusan, JKKTN juga membincangkan mengenai format baharu pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen untuk dikuatkuatkuasakan semula.
“Format baharu ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tatakelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.
Sementara itu mesyuarat yang diadakan turut menekankan mengenai program pembangunan kapasiti Ahli Lembaga Pengarah BBP.
Ia turut memperkasa peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat Badan Berkanun Persekutuan termasuk syarikat dan perbadanan BBP.
“Selain itu, ia juga memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan pembabitan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri terutamakepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).
“Ia turut memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri,” tambah Pejabat Perdana Menteri.
BACA LAGI: Pentadbiran Anwar akan terus perjuangkan aspek tatakelola yang baik
Menurut kenyataan itu, Badan Berkanun adalah antara cabang sektor awam penting yang bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta jabatan kerajaan yang lain.
Justeru bagi memastikan pengurusan tatakelola yang baik, pemantauan akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU, JPM).