Semasa

DAP kutuk serangan ganas, kediaman Ngeh terbakar dibaling ‘molotov cocktail’

Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas individu tidak dikenali menggunakan bom petrol sehingga menyebabkan kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham awal pagi tadi.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata sebarang bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sama sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat.

“Saya mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga beliau dalam kejadian keganasan tersebut.

“DAP juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat dan pihaknya yakin dengan tindakan pantas pihak berkuasa untuk menangkap suspek bertanggungjawab terhadap jenayah itu.

Terdahulu dilaporkan kediaman milik Ngeh dan tiga buah kenderaannya terbakar di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar di Manjung, Perak.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menerusi laman Facebooknya mengesahkan tiada sebarang kecederaan berlaku.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan, 3.05 pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran membabitkan tiga kereta di kawasan parkir di rumah membabitkan Mercedes E300, Honda CRV dan Toyota Hilux.

“Kebakaran juga membabitkan siling dan bumbung garaj kereta dan tiada mangsa cedera dan operasi ditamatkan 4.44 pagi selepas kebakaran dipadamkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button