ekonomi

Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Kerajaan Perpaduan menubuhkan Pasukan Khas Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF) sebagai platform khusus membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan berkata, usaha itu sejajar langkah memastikan pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi Madani.

Ia juga jelasnya bagi memastikan usaha meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas daripada segi ekonomi terbesar dunia dan 12 teratas daripada segi daya saing global dalam tempoh 10 tahun akan datang dapat dijayakan.

Mesyuarat membincangkan kepentingan industri semikonduktor yang menyumbang kepada 7.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Sehubungan itu, diputuskan penubuhan National Semiconductor Strategic Task Force (NSSTF) sebagai satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor ini,” katanya.

Kenyataan itu menyusul Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 1 tahun dipengerusikan beliau di Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu Anwar turut memaklumkan mesyuarat bertujuan membincangkan mengenai strategi dan hala tuju bagi meningkatkan pelaburan dalam negara.

Kerajaan juga jelasnya akan membangunkan satu kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.

BACA LAGI: Kerajaan gubal dasar jelas, tarik pelabur demi masa depan negara

“Mesyuarat memutuskan bahawa pelaburan hijau (green investments) adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara dan perlu dipertingkatkan.

“Dalam hubungan ini, Kerajaan akan membangunkan kerangka dasar beserta pelan khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama serantau.

“Ini juga merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, kata Anwar, kerajaan juga memutuskan untuk menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan di dalam Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park sebagai Kerian Integrated Green Industrial Park.

“Ia diharap akan menjadi pencetus kepada peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh industri-industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button