Semasa

Menteri Ekonomi nafi Accio Technologies terlibat bangunkan PADU

Accio Technologies tidak terlibat dalam proses pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU), tegas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli .

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, beliau menegaskan bahawa sistem berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga.

“Saya mengambil maklum siaran sosial media oleh stesen radio BFM89.9 mengenai Dr Cher Han Lau, Ketua Pegawai Eksekutif Accio Technologies, yang mendakwa bahawa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan Padu.

“Setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan Cher adalah tidak benar,” katanya.

BACA LAGI: Lebih sejuta rakyat sudah mendaftar dengan sistem PADU

PADU yang dilancarkan 2 Jan lepas merupakan pangkalan data yang mengandungi profil warganegara dan pemastautin tetap Malaysia.

Ia diwujudkan bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar selain memudahkan kerajaan merangka dasar untuk rakyat.

Sistem itu dibangunkan secara bersama menggunakan kepakaran dalaman daripada Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) dengan kerjasama pelbagai agensi pembekal data.

Bagaimanapun Rafizi menjelaskan, pasukan analitik PADU ada menjemput Cher hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia dalam sains data, berdasarkan keupayaan beliau membangunkan data raya dan “machine learning”.

“Proses pembangunan PADU, pengumpulan atau pembersihan data PADU tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau,” tegas Rafizi.

Related Articles

Back to top button