Semasa

Polis buka kertas siasatan ‘Langkah Dubai’

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menerima 43 laporan berhubung gerakan yang didakwa mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekaligus memudaratkan sistem demokrasi berparlimen itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, pada Selasa.

Desas-desus usaha menjatuhkan kerajaan melalui ‘Langkah Dubai’ timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia didakwa didalangi pemimpin pembangkang dan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang tidak senang dengan Anwar.

BACA LAGI: Drama politik ‘Langkah Dubai’ hanya buang masa- Abang Johari

Sementara itu menurut Razarudin, pihaknya kita perlu menyiasat perkara itu sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

“Dulu kita pernah melalui perubahan dalam kerajaan, di mana seorang pemimpin parti akan membawa senarai nama kepada Yang di-Pertuan Agong. Kali ini, hanya spekulasi tidak berasas lebih 10 hari sehingga menimbulkan keresahan orang ramai,” tambahnya.

Sehubungan itu jelasnya, beberapa pempengaruh media sosial juga akan diambil keterangan berhubung gerakan itu antaranya Badrul Hisham Shaharin (Che’Gu Bard), Wan Muhammad Azri (papagomo) dan Salim Iskandar.

“Tindakan itu berdasarkan tular rakaman video tiga hingga empat individu berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Kita turut mendapati video Raja Petra Raja Kamaruddin yang bercakap berkaitan perkara itu lebih 10 hari tentang kerajaan hendak jatuh, namun tiada apa-apa pergerakan ke arah itu dilihat.

“Kita faham jika ia datang daripada pemimpin parti politik atau ahli berpangkat tinggi, tetapi individu seperti Raja Petra tidak mempunyai kepentingan untuk bercakap mengenai perkara sebegitu,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button