Semasa

Rasuah RM6 juta: SPRM bakal panggil Sanusi, bantu siasatan KFA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim dipetik laporan media mengesahkan pihaknya akan memanggil pemimpin negeri itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan persatuan bola sepak pada 2020.

Difahamkan, siasatan kes rasuah itu dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak tersebut.

“Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di kerajaan negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

“Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit,” kata seorang sumber.

BACA LAGI: SPRM siasat dakwaan rasuah dana program Keluarga Malaysia – sumber

Jumaat lalu, SPRM menahan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron bersama tiga individu bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta itu.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Zulkifli Che Haron menurut media pernah menjadi calon parti PAS bagi kerusi N13 Kota DarulAman pada PRU14 tahun 2018.

Muhammad Sanusi pada Sabtu sebagai mengulas penahanan Zulkifli mendakwa wang RM6 juta yang terkait dalam siasatan rasuah KFA merupakan derma daripada syarikat gergasi bagi menyambung kontrak konsesi loji rawatan air (LRA) Kedah.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa dakwaan rasuah itu sebagai plot untuk memburukkan KFA dan kerajaan negeri pimpinannya.

Related Articles

Back to top button